This is the excerpt of my essay written for the Inter-varsity Essay Competition organised by Dewan Bahasa dan Pustaka. The discussion is about whether female should be included in the National Service Trainging Programme. I discussed the topic from a legalistic lense.
The essay is written in National Language.
----------------------------------------------------------------------------------
Di sini saya ingin membuat tinjauan terhadap perundangan semasa di Malaysia untuk menentukan tahap kemajuan taraf wanita di negara ini.
Pada tahun 1995, Malaysia telah membuat ratifikasi terhadap Konvensyen Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (The United Nations’ Convention On the Elimination of All Forms Of Discrimination Against Women (CEDAW)) . Negara-negara yang menandatangani Konvesyen ini mempunyai obligasi untuk mengambil langkah-langkah perundangan untuk menghapuskan segala bentuk diskriminasi terhadap wanita. Unjuran daripada ini, Parlimen Malaysia meluluskan pindaan Perlembagaan Malaysia dengan memasukkan perkataan jantina dalam konsep kesamarataan Perlembagaan. Perkembangan dalam hak kesamarataan ini sebenarnya merupakan komitmen kerajaan Malaysia terhadap konvesyen tersebut.
Sebelum pindaan 2001, Perlembagaan adalah senyap terhadap isu kesamarataan lelaki dan perempuan. Niat ini boleh dilihat dari undang-undang seperti Akta Khidmat Negara 1955 yang mengecualikan wanita dalam penyertaan khidmat negara. Sekali pandang, hujah Christine A. Littleton mendapat tempat di undang-undang pra-2001 di Malaysia.
Pindaan Perlembagaan Malaysia yang berlaku pada 2001 adalah memasukkan pengiktirafan terhadap kesamarataan lelaki dan perempuan dengan tambahan perkataan jantina dalam Artikel 8(2).
Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas, Artikel 8(1) dan 8(2), 4(1) dan 160(2) Perlembagaan Persekutuan Malaysia harus dibaca bersama.
Artikel 8(1) Perlembagaan Malaysia menyatakan:
“Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang”
Selepas pindaan 2001, Artikel 8(2) berbunyi:
“Kecuali sebagaimana dibenarkan dengan nyatanya oleh perlembagaan ini, tidaklah boleh ada perbezaan terhadap warganegara semata-mata oleh sebab agama, kaum, keturunan tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlantikan bagi apa-apa jawatan atau pekerjaan di bawah sesuatu pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang berkenaan dengan memperolehi, memegang atau melepaskan harta atau berkenaan dengan menubuh atau menjalankan apa-apa tred, perniagaan, profesyen, vokesyen atau pekerjaan. ”
Artikel 4(1) Perlembagaan menyatakan:
“Perlembagaan ini adalah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka dan yang berlawanan dengan Perlembagaan ini hendaklah terbatal setakat yang berlawanan itu.”
Hari Merdeka pula ditakrifkan di bawah Artikel 160(2) sebagai 31 Ogos tahun 1957.
Ini bermaksud, selepas kuatkuasanya pindaan Perlembagaan 2001, sebarang akta adalah tidak sah dan terbatal sekiranya peruntukan adalah berlawanan dengan Artikel 8(2) yang baru.
Berdasarkan tafsiran itu, Akta Program Khidmat Latihan Negara 2003 tidak membuat perbezaan antara jantina. Ini adalah jelas berbeza dengan klausa mewajibkan lelaki sahaja dalam Akta Khidmat Negara 1952. Kedudukan mewajiban lelaki sahaja di bawah Akta Khidmat Negara 1952 masih sah kerana ia diluluskan sebelum Hari Merdeka dan peruntukan Artikel 4(1) hanya terpakai ke atas undang-undang selepas Hari Merdeka.
Mahkamah Persekutuan telah berpeluang membuat tafsiran terhadap Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan dalam kes PP v Khong Teng Khen . Mahkamah Persekutuan menyatakan Artikel 8 mengenakan kewajipan ke atas undang-undang untuk melayan orang yang sama dengan layanan yang sama dibawah keadaan yang sama. Artikel 8 tidak mewajibkan undang-undang untuk melayan orang yang sama dengan layanan yang sama di bawah semua keadaan. Artikel 8 menjamin seseorang dalam kelas yang sama harus dilayan dengan layanan yang sama dengan orang lain dengan kelas yang sama. Dalam aspek ini, menurut Mahkamah, Parlimen adalah dibenarkan untuk memasukkan klasifikasi perundangan seperti umur, pendapatan, profesion. Syarat klasifikasi tersebut ialah ia tidak boleh melanggar alasan yang dihalang oleh Artikel 8(2) dan mesti memenuhi piawaian kemunasabahan yang ditentukan oleh mahkamah.
Dr Shad Faruqi juga membuat satu permerhatian yang menarik berkenaan Artikel 8(2). Menurut beliau, Artikel 8(2) hanya menghalang diskriminasi dalam aspek agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina semata-mata. Sekiranya isu yang dibangkitkan adalah berkenaan dengan diskriminasi wanita semata-mata, maka ia adalah ultra vires atau berlawanan dengan peruntukan 8(2) dan adalah tidak sah. Tetapi, sekiranya satu alasan yang dihalang dengan tambahan satu lagi alasan lain, maka jaminan kesamarataan tersebut tidak boleh dibangkitkan. Contoh yang diberikan oleh beliau ialah berkenaan dengan undang-undang Rukun Tentanga yang mengecualikan wanita dalam rondaan malam. Menurutnya, oleh kerana alasan keselamatan yang merupakan tambahan kepada alasan jantina, maka jaminan perlembagaan Artikel 8(2) tidak boleh dibangkitkan.
Pada pandangan saya, usaha kerajaan meratifikasi CEDAW, pindaan Perlembagaan 2001 serta mewajibkan penyertaan remaja perempuan dalam PLKN merupakan langkah progresif yang mengiktiraf hak samarata lelaki dan perempuan di negara kita.
Cadangan pengecualian remaja perempuan dalam PLKN hanya akan mematahkan usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf wanita. Ini adalah bertentangan dengan dasar kerajaan , polisi Bangsa-bangsa Besatu serta usaha para ahli feminis. Apa yang perlu diperbaiki dalam PLKN sebenarnya ialah kawalan disiplin dalam kem latihan dan juga logistik.
No comments:
Post a Comment